Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) semakin hampir untuk meraih kejuaraan Terbuka Indonesia buat kali keenam sekali gus menyamai rekod yang dilakukan legenda negara berkenaan Taufik Hidayat dan Ardy Wiranata selepas mara ke perlawanan akhir semalam.

Chong Wei yang akan merampas semula ranking nombor satu dunia dari Chen Long (China) tidak berdepan masalah untuk memenangi aksi separuh akhir apabila menumpaskan pemain tuan rumah, Ihsan Maulana Mustofa 21-9, 21-18.

Bagaimanapun, sokongan padu peminat tempatan sedikit menjejaskan rentak Chong Wei di set kedua namun pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik 2016 Rio itu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk mencatat kemenangan.

“Saya menentang Ihsan buat pertama kali dan ternyata dia seorang pemain yang bagus sekarang ini selepas mara ke perlawanan akhir, saya cuba untuk muncul juara esok (hari ini) seterusnya meraih kejuaraan Terbuka Indonesia buat kali keenam,” kata Chong Wei ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, anak buahnya itu beraksi seperti biasa di set pertama dan Ihsan kelihatan sedikit tertekan, namun semuanya berubah di set kedua.

“Pada set kedua, Ihsan pula mendapat rentak dan Chong Wei kelihatan kurang selesa, ditambah pula masalah angin dan dia terpaksa bermain dengan berhati-hati,” katanya.

Jelasnya, ketika Ihsan mula mengejar mata, Chong Wei terlalu menjaga bahagian depan sehingga membiarkan ruang kosong di belakang dan sokongan luar biasa penonton juga sedikit mengganggu fokusnya.

Menanti Chong Wei di perlawanan akhir hari ini ialah pilihan kelima dari Denmark Jan O Jorgensen yang mengalahkan pemain China Tian Houwei 21-14, 18-21, 21-17.

Dalam pada itu, Hendrawan berkata, ranking nombor satu dunia bukan menjadi fokus utama Chong Wei sekarang ini kerana Olimpik Rio lebih penting.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tumpas kepada pilihan ketiga dari China Tang Yuanting-Yu Yang 15-21, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:07 AM