Antara suasana hari terakhir Pesta Wau Antarabangsa 2016 kali ke-34 di Pantai Geting, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Tumpat: Kelantan merangkul juara keseluruhan pertandingan Pesta Wau Antarabangsa 2016 kali ke-34 yang diadakan di Pantai Geting, di sini, buat kali kedua berturut-turut.

Sebanyak lapan kategori peringkat kebangsaan yang dipertandingkan dan lima daripadanya dibolot Kelantan, iaitu pertandingan wau bulan naik kebangsaan, puyuh naik, jalabudi naik, daun naik, dan bengkel membuat wau.

Seramai 285 peserta dari 13 negara terbabit dalam pesta yang berakhir hari ini termasuk 31 peserta antarabangsa iaitu Amerika Syarikat, Sweden, Ukraine, Kemboja dan Brunei.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan negeri (TIC) Mohd Sabilly Mohd Ramli Annuar berkata, walaupun penyertaan tahun ini agak kurang berbanding tahun lalu, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Kita terpaksa hadkan penyertaan peserta kerana kesuntukkan masa memandangkan umat Islam akan menyambut Ramadan Isnin ini, jadi kita terpaksa pendekkan tempoh penganjuran.

“Namun begitu, acara yang diadakan pada tahun ini tetap meriah kerana mendapat penyertaan beberapa negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Pesta Wau Antarabangsa 2016 sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Hassan Mahamood.

Beliau berkata, lebih 5,000 pengunjug hadir menyaksikan pesta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 8:32 PM