NICOL (depan) mencari kekuatan untuk bangkit semula.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara memperbaiki rankingnya apabila melonjak satu anak tangga ke kedudukan keempat dunia selepas tamatnya Kejohanan Skuasy Siri Dunia di Dubai minggu lalu.

Berdasarkan senarai terbaru dikeluarkan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada 2 Jun lalu, pemain muda Mesir berusia 20 tahun, Nour El Sherbini mengekalkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia buat bulan kedua.

Nour merampas takhta dunia selepas muncul juara Kejohanan Skuasy Wanita Dunia yang berlangsung di sini awal bulan lalu.

Kejayaan Laura Massaro menjulang gelaran juara di Dubai itu bagaimanapun tidak banyak membantu pemain England berkenaan untuk kembali ke persada apabila kekal di ranking kedua dunia.

Selain Nour, dua lagi pemain Mesir kekal menguasai kelompok lima terbaik dalam senarai ranking skuasy wanita. Raneem El Welily berada di kedudukan ketiga dan Nouran Gohar kelima.

Bagi Nicol, dia tidak pernah putus asa dan sentiasa ingin terus beraksi, malah seperti yang pernah dikatakannya sebelum ini, tiada istilah bersara dalam tempoh terdekat ini biarpun dihantui rentetan kekalahan berturut-turut.

“Apabila ranking anda jatuh ia memberi perspektif berbeza. Tahun lalu memberi peluang kepada saya untuk belajar sesuatu. Kini saya mencari kekuatan untuk kembali bangkit.

“Bagaimanapun semua itu menuntut kerja keras kerana anda perlu mencari rentak semula. Kami semua perlu berusaha keras dan kini saya dapat merasai kembali semangat untuk bergelar pemain nombor satu dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:06 AM