MIMI
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Baru merangkak dalam industri hiburan tempatan, nama pelakon Mimi Lana tiba-tiba menjadi sebutan.

Bagaimanapun, ia bukan disebabkan lakonannya dalam mana-mana drama, tetapi apabila dia ditahan polis atas kesalahan dadah pada September tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Mimi, 21, bersama dua lagi rakannya ditahan polis yang menyerbu rumah sewa mereka di Subang Jaya dan menemui ganja seberat 2.19 gram.

Berikutan itu Mimi ditahan reman selama 11 hari sebelum dibebaskan.

Kejadian itu juga menyebabkan Mimi digam stesen televisyen walaupun dia dibuktikan tidak bersalah.

Walaupun jatuh terduduk dengan kejadian itu, Mimi membuktikan dia seorang wanita yang kuat.

Dia optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah.

“Ketika ditahan reman, saya menangis siang dan malam memikirkan kerjaya lakonan yang baru hendak bermula mungkin hancur berkecai.

“Ternyata ia benar, selepas dibebaskan tawaran berlakon sudah tiada dan projek dipersetujui ditarik kerana stesen televisyen tidak mahukan saya apabila dikatakan mengganggu reputasi drama itu.

“Saya terduduk mengenangkan nasib dan berusaha mencari jalan membersihkan nama kembali walaupun saya didapati tidak bersalah,” katanya.

Malu keluar rumah

Tidak malu untuk mengakui dia juga banyak belajar daripada kesilapan, namun kejadian hitam itu perlu dilupakan agar kehidupan dan kerjayanya boleh diteruskan.

“Saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya tetap teruskan walaupun sukar dan malu keluar rumah, tapi saya perlu lakukan demi meneruskan kehidupan serta mengejar cita-cita,” katanya.

Mimi berkata, sebulan selepas kejadian itu, dia perlahan-lahan menerima tawaran berlakon dan rezeki lakonan tidak putus hingga hari ini.

Disebabkan kejadian itu, Mimi berpindah ke rumah baru dan fobia untuk tinggal bersama individu tidak dikenali.

“Kali ini, saya lebih berhati-hati memilih kawan kerana tidak mahu perkara sama berulang. Saya juga fobia untuk bersama dengan orang yang kurang dikenali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mimi bersyukur apabila diberi peluang untuk memegang watak utama menerusi drama bersiri Cinta Tangkap Muat sebanyak 30 episod yang bakal ditayangkan di HyppTV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:02 AM