Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Meskipun rekaan tudung dan selendang di pasaran seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan, pasti rekaan hijab yang tampak eksklusif dan mewah menjadi pilihan utama sesetengah Muslimah yang mementingkan penampilan dan gaya.

Justeru, Carabella Creations, pengeluar tudung premium dan eksklusif jenama Veena Hijab kini lebih fokus kepada pengeluaran selendang rekaan eksklusif, unik dan premium memandangkan permintaan untuk koleksi itu mendapat sambutan di luar jangkaan sejak mula diperkenalkan tahun lalu.

Pengasasnya Lenny Juvena Azmi berkata, ia bagi memenuhi permintaan untuk kelas pertengahan dan atasan bagi kategori tudung eksklusif dan premium.

Koleksi Veena Hijab dimewahkan dengan jahitan dan penataan manik akrilik batang pasir silinder bersaiz sehalus gula pasir yang tidak boleh didapati atau tak dijual di Malaysia.

“Ia diimport khas dari Jepun dan selendang eksklusif manik itu dijahit oleh pakar serta mengambil masa tujuh ke sembilan jam bagi sehelai dan perincian manik menggunakan kira-kira satu setengah sudu besar berharga RM45 untuk manik saja.

“Manakala jahitan manik untuk koleksi premium mengambil masa selama tiga ke empat hari dan memerlukan jumlah manik bernilai RM120 untuk manik saja,” katanya.

Bagi koleksi edisi khas Ramadan, butik itu mengeluarkan empat koleksi baru selendang berukuran kira-kira dua meter panjang dengan taburan kristal dan Swarovski daripada fabrik satin matte, satin sutera dan satin dwiwarna untuk koleksi selendang Ivy Eksklusif Royal Sateen.

Manakala koleksi selendang Acacia Aneura Premiumpula daripada fabrik diamond crepe dan renda diimport dari Indonesia. Koleksi selendang Camellia Royal Premium pula diberi sentuhan baru dan sangat terhad diperbuat daripada fabrik cerruti ultimate yang beralun dan mudah digayakan dengan beberapa cara pemakaian, malah hanya terdapat dalam satu warna iaitu merah jambu dusty.

Koleksi selendang Bergenia Eksklusif Necklace juga menjadi pilihan edisi Ramadan.

Untuk koleksi pakaian, butik itu juga menawarkan gaun renda Petal Pastel daripada fabrik satin dwiwarna, moss crepe dan renda.

Koleksi Dahlia Exclusive Kebaya Ballroom Labuh pula terdapat dalam 13 warna daripada fabrik satin kapas Itali dengan penataan renda tampal pada bajunya.

Kebaya ini sesuai dipakai dengan seluar palazo atau kain songket untuk majlis rasmi atau makan malam. Untuk pembelian kebaya ini kain selisih hadapan diberi percuma yang hanya terdapat di butik #OOTD saja.

Semua koleksi edisi Ramadan dijual pada harga antara RM149 hingga RM299 dan boleh didapati bermula minggu pertama Ramadan.

Semua koleksi boleh didapati melalui Facebook VnaCouture dan Instagram veenahijab selain di butik #OOTD Vendors Cafè, E-15-G, Jalan Serai Wangi M16/M, Alam Avenue 2, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor selain secara dalam talian di Zalora, Lazada dan 11Street.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:02 AM