PENGURUS Hijrah Couture cawangan Evenue 2, Shah Alam, Megat Syawaluddin Othman menunjukkan antara koleksi set sedondon.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Meskipun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pembaharuan dan transformasi, sukar menidakkan baju tradisional Melayu seperti baju kurung, baju Kedah atau kebaya yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Malah dengan suntikan elemen moden, pakaian tradisi ini sentiasa menjadi pilihan wanita untuk digayakan.

Menyedari hakikat itu, butik Hijrah Couture terus mengekalkan tradisi itu dengan menyediakan pelbagai busana tradisional yang bukan saja klasik, cantik dan anggun, tetapi sopan dan manis apabila digayakan.

Baju kurung pesak, kurung Pahang, kurung Kedah dan kurung moden memang membuatkan wanita bertambah manis. Jemu berbaju kurung, bolehlah beralih kepada kebaya sama ada kebaya Pahang atau Nyonya. Semuanya membuktikan kekayaan dunia busana tradisional Melayu yang terus popular dan terpelihara hingga hari ini.

Butik itu juga menyediakan jubah dan abaya untuk mereka yang mendambakan fesyen dari Timur Tengah, namun fokus butik ini tetap kepada busana Melayu lama.

Diilhamkan oleh Roslina Ismail, 38, butik itu mahu terus mengetengahkan fesyen pakaian tradisional Melayu, malah dengan kehadiran ratusan butik Muslimah tidak pun menjejaskan fokus butik itu dalam pengeluaran busana berkenaan.

“Usahawan jubah memang ramai, namun usahawan busana yang berkonsepkan busana asli boleh dikira dengan jari. Jika usahawan lain memilih konsep jubah dan abaya, saya lebih selesa memilih mengetengahkan busana Melayu.

“Saya tidak mahu busana Melayu hanya dikenali sebagai pakaian hari raya. Ia sesuai digayakan ke pejabat dan tentu sekali ke majlis rasmi serta kenduri.

“Kurung Kedah atau kurung Pahang pula tidak canggung dijadikan pakaian ke pejabat. Lebih cantik lagi jika digayakan dengan padanan aksesori yang sesuai seperti kerongsang, kancing, sulaman dan selendang,” katanya.

Roslina berkata, kekuatan butik itu terletak pada pemilihan fabrik yang digunakan, malah baginya kualiti perlu diberi keutamaan untuk terus mendapat tempat di hati pelanggan.

Justeru, dia yang dibantu suami, Eddy Syamsinoor Marsham memantau setiap proses daripada pemilihan bahan hingga ke rekaan dan memastikan pelanggan dapat memakai pakaian cantik, dengan harga mampu milik.

Koleksi yang ditawarkan mengetengahkan fabrik kapas dan satin berkualiti tinggi dengan corak serta kombinasi warna terkini.

“Kami cuba mempelbagaikan koleksi setiap bulan. Hiasan terkini seperti dokoh tampal, manik, warna cantum dan renda juga menjadi sebahagian daripada rekaan terbaru,” katanya.

Sempena lebaran ini, Hijrah Couture turut menawarkan set sedondon ibu, bapa, anak lelaki dan anak perempuan dengan pelbagai rekaan menarik bagi memudahkan pencarian busana Aidilfitri di satu tempat.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan koleksi butik itu melalui laman web www.hijrahcouture.com, Facebook dan Instagram Hijrah Couture atau butik di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall Shah Alam, Evenue 2 Seksyen 16, Shah Alam dan Bangi Sentral.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:01 AM