Yuna berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, kini berada di New York. - Foto Fail
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Yuna yang mencipta nama di peringkat antarabangsa melakar sejarah apabila album terbarunya, Chapters disenaraikan dalam carta Billboard menerusi kategori Top R & B Album dan Top R & B/Hip Hop Album.

Album yang dipasarkan sejak Mei lalu, melonjak ke tangga kelapan bagi kategori Album R & B dan tangga ke-16 menerusi Album R & B/Hip Hop pada minggu pertama disenaraikan.

Menerusi album itu, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai turut berduet dengan bintang R & B antarabangsa, Usher melalui lagu Crush.

Selain itu, single Places To Go menampilkan kerjasama Yuna dengan penerbit hip hop lagenda DJ Premier dan Used to Love You nyanyian duet dengan penyanyi popular, Jhene Aiko.

Yuna, satu-satunya penyanyi Malaysia yang mampu berada sebaris dengan penyanyi tersohor lain menerusi carta itu.

Sebelum ini, lagu popularnya Terukir Di Bintang tersenarai dalam Carta Billboard dan album Yuna pada 2012 serta Nocturnal (2013) berjaya menduduki tangga ke-19 dan 27 dalam carta Heatseekers Album.

Yuna yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat kini berada di New York.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:23 PM