PENGUKUHAN semula harga minyak beri kelegaan kepada ASEAN.
Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pemulihan semula harga komoditi global termasuk minyak memberi sedikit kelegaan kepada anggota ASEAN kerana hampir semua negara di rantau ini masih bergantung kepada hasil komoditi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan harga itu dianggap penting kerana ia dapat memberi pulangan yang baik kepada pengusaha tempatan dan juga meningkatkan pendapatan kerajaan.

Beliau berkata, Malaysia sendiri melihat pengukuhan semula harga minyak sesuatu yang positif kepada pendapatan negara kerana ketika ini, komoditi tidak lagi menjadi sumber pendapatan utama negara kerana sudah berjaya mempelbagaikan struktur ekonomi domestik dan global.

“Bagaimanapun, negara-negara ASEAN secara keseluruhannya perlu mengorak langkah untuk mempelbagaikan struktur ekonomi agar tidak bergantung kepada pendapatan berasaskan komoditi saja.

“Bagi Malaysia, kita berjaya mempelbagaikan struktur ekonomi dan oleh kerana itu kita dapat bertahan walaupun berdepan kemerosotan harga minyak dunia kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) peringkat ASEAN 2016 di sini, semalam.

Harga minyak dunia kini berlegar sekitar AS$49.71 (RM204) setong iaitu paras tertingginya dalam tahun ini selepas menjunam ke AS$30 (RM123) setong Februari lalu.

Selain harga minyak, negara ASEAN turut menghadapi kejatuhan harga komoditi seperti sawit, getah dan beberapa lagi hasil pertanian dan perlombongan.

Sementara itu, Mustapa berkata, selain China, Malaysia juga tidak mengabaikan pasaran India yang dilihat sebagai satu lagi negara gergasi Asia yang mempunyai banyak potensi bagi pelaburan dan perdagangan.

“Pasaran India mempunyai potensi yang besar. Mereka kini giat membangunkan infrastruktur seperti lebuh raya dan kereta api. Malaysia ada strategi untuk terus menerokai pasaran India dan beberapa perjumpaan kerap diadakan bersama pihak India termasuk di peringkat universiti.

“Perdana Menteri juga mempunyai perancangan untuk melakukan kunjungan rasmi ke India bagi mengukuh dan membincangkan perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:26 AM