Kuala Lumpur: “Peluang terbaik baiki ranking,” jelas pemain perseorangan lelaki negara, Arif Latif (gambar) yang mara ke pusingan ketiga Terbuka Vietnam selepas menumpaskan rakan senegara, Tan Vi Hen.

Arif yang sekarang ini menghuni ranking 147 dunia, mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-9 dan akan berdepan pemain Jepun, Ryotaro Maruo hari ini.

“Saya harap dapat memperbaiki ranking di kejohanan ini. Saya perlu cuba yang terbaik dalam setiap perlawanan, seterusnya mara sejauh mungkin,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Mengulas mengenai aksi semalam, Arif berkata, dia bermain seperti biasa tanpa berasa tertekan namun sentiasa kekal fokus untuk menang.

“Esok (hari ini) lawan (Maruo) lagi sukar, saya perlu bermain lebih baik berbanding hari ini (semalam). Memang saya tidak pernah bertemu dia tapi berdasarkan apa yang dilihat tadi permainannya memang bagus,” katanya.

Turut mara pemain pilihan keempat, Chong Wei Feng yang menumpaskan Siril Verma dari India, 21-17, 21-6 dan bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan bertemu seorang lagi pemain dari negara sama, Sourabh Varma hari ini.

Liew Daren juga mara ke pusingan ketiga apabila menumpaskan Chan Yan Kit dari Hong Kong, 18-21, 21-17, 21-17 dan lawannya hari ini ialah pilihan kedua dari Taiwan Tzu Wei Wang.

Sementara itu, Lee Ying Ying menjadi wakil tunggal negara mara ke pusingan kedua apabila menumpaskan pemain Hong Kong Avery Tsang 21-15, 20-22, 21-10 dan bakal berdepan lawan sukar hari ini apabila bertemu pilihan pertama dari Thailand, Pornpawee Chochuwong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 8:39 AM