PESERTA diajar secara terus.
Fauzi Rahim Mustafa
rencana@hmetro.com.my


Kekangan masa, kesibukan pekerjaan dan tidak berkesempatan sebahagian daripada umat Islam menelaah al-Quran memberi idea kepada Al-Baghdadi Learning Centre (ABLC) mengambil inisiatif mewujudkan kelas membaca kitab suci itu kepada golongan terbabit.

Menyasarkan hanya kira-kira 10 bulan untuk mengkhatam al-Quran, ABLC komited dan konsisten ke arah menjadikan masyarakat Islam kembali mencintai kitab suci itu.

Pengurus Besar ABLC Adnan Kamaruddin berkata, bagi membantu golongan kurang mempunyai masa untuk mengaji dan mengkaji al-Quran, pihaknya mewujudkan kelas pengajian al-Quran pada setiap Sabtu.

“Objektif kelas ini untuk membudayakan bacaan al-Quran dalam masyarakat Muslim dengan kaedah betul mengikut tajwid berdasarkan panduan guru bertauliah.

“Ini juga sebagai membuka peluang kepada golongan berkerjaya yang sentiasa sibuk dan tidak mempunyai masa panjang untuk mengaji dan mengkaji al-Quran,” katanya.

Mendapat kerjasama daripada Mutiara Barokah Resources dan Ayamas, ABLC sudah memulakan kelas pengajian membaca al-Quran di Kulim bermula November lalu.

Adnan berkata, kelas pengajian secara bacaan bertalaqi (beramai-ramai) itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila lebih 300 masyarakat Islam pelbagai peringkat usia menyertainya untuk memperbaiki bacaan masing-masing.

“Sasaran masa 10 bulan untuk seseorang itu khatam al-Quran munasabah kerana ia dibuat setiap minggu dan dilakukan secara formal dan bertertib.

“Bukan saja bacaan dititikberatkan, malah makna dalam setiap ayat dibaca juga dihuraikan agar memberi keinsafan kepada jiwa sekali gus menerbitkan rasa kasih sayang kepada Islam tanpa berbelah-bahagi,” katanya.

Katanya, sebanyak 40 sesi dalam tempoh 10 bulan diperlukan bagi menghabiskan bacaan al-Quran dengan dipimpin guru agama berpengalaman bertujuan menjaga sebutan agar maksud setiap ayat tidak terpesong.

“Sangat penting menjaga bacaan al-Quran dengan betul dan kena pada nahunya kerana kalimah itu sentiasa digunakan kita dalam setiap solat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 7:45 AM