Polis memeriksa lima lelaki yang disyaki memiliki dadah ketika Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai. - Foto ANUAR ABD RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lima lelaki ditahan selepas polis menjumpai sepaket plastik mengandungi dadah disyaki ganja dalam operasi bersepadu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama enam agensi penguat kuasa di Plaza Tol Skudai di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Proton Wira dinaiki lima suspek berusia 20-an ditahan untuk pemeriksaan dan menemui sepaket plastik mengandungi dadah dalam beg silang di tempat simpan barang belakang kereta.

Kelima-lima suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi membabitkan agensi, termasuk PLUS, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mencatatkan 41 kes membabitkan pelbagai kesalahan.

Pengarah JKJR negeri Maisara Ashran Mustafa berkata, 143 pemeriksaan dibuat dalam operasi bersepadu empat jam itu bertujuan mengesan pemilik atau pemandu kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 serta undang-undang lain termasuk pemeriksaan ujian air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 8:35 PM