KENDERAAN terbabit dalam kemalangan terbalik di tengah lebuh raya.FOTO ihsan Bomba
Khairul Najib Asarullah Khan
am@hmetro.com.my


Nilai: Tiga cedera termasuk seorang kelindan lori dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 284, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar Tol Nilai, di sini pagi tadi.

Kemalangan 6.15 pagi membabitkan masing-masing kenderaan utiliti sukan (SUV) dan motosikal serta tiga lori iaitu lori tangki, lori tiga tan dan lori kontena.

Difahamkan kejadian berlaku apabila SUV berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik di lorong tengah lebuh raya.

Pada masa yang sama, lori tangki dan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak lalu terbabas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, lori tiga tan yang berada di belakang lori tangki turut brek secara mengejut.

"Dalam masa yang sama, lori kontena gagal memberhentikan kenderaannya menyebabkan dia merempuh lori tiga tan berkenaan sebelum ia terbalik.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 3:55 PM