MOHD Adib menyerahkan sumbangan kepada Pengarang Berita Harian Metro, Sufian Thauri Muhammed.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menganjurkan program jelajah motivasi Ramadan ke Pantai Timur dalam usaha memberikan pelbagai pengisian khususnya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

Diadakan 12 hingga 17 Jun ini, ia adalah penganjuran kali pertama di bulan puasa membabitkan 6,000 pelajar di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Ketua Penerangan GPMS, Mohd Adib Anas Md Noor berkata, program anjuran bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sebagai satu inisiatif memberi bimbingan kepada pelajar sebagai persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Ia adalah kesinambungan Program Jelajah Motivasi sejak sepuluh tahun lalu dengan Skuad Jelajah Motivasi Ramadan ini adalah yang pertama akan ke sekolah terpilih dan Insya-Allah kita akan teruskan kerana maklum balas diterima begitu positif," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kurma di Balai Berita, hari ini.

Katanya, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda ingatan atas kerjasama media khususnya Harian Metro yang banyak memaparkan isu pendidikan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 3:43 PM