KERJA pembaikan bumbung sedang dilakukan. FOTO Azahar Hashim
KEADAAN bumbung rumah rosak akibat ribut di Taman Kenari, Kulim. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Empat belas rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dalam ribut di Taman Kenari di sini, semalam.

Mangsa V Maliga, 57, berkata kejadian berlaku 1.30 tengah hari ketika dia sedang menjemur pakaian di hadapan rumah dalam keadaan cuaca panas terik.

Katanya, dia tidak menyangka akan dilanda ribut kerana kebiasaannya angin kencang berlaku jika hujan lebat.

"Secara tiba-tiba angin melalui kawasan rumah saya agak kuat menyebabkan pakaian di ampaian berterbangan jatuh.

"Tidak lama kemudian angin kuat melanda lagi dan saya melihat keadaan luar biasa kerana ternampak pusaran angin sebelum melihat bumbung rumah jiran diterbangkan angin setinggi 30 meter.

"Terkejut dengan kejadian saya terus berlari ke rumah jiran untuk berlindung dan ketika itu terdengar bunyi letupan di bahagian belakang rumah," katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira lima minit dan selepas keadaan reda beberapa jiran keluar dari rumah untuk melihat apa yang terjadi.

"Saya mendapati 20 keping bumbung di bahagian tengah dan dapur rumah turut diterbangkan angin, tetapi mujur kejadian tidak menyebabkan siling rumah bocor atau rosak," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO cawangan Taman Kenari Mohamad Yusoff Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 14 rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dilanda angin kencang.

Katanya, pihaknya sudah menghantar bumbung baru untuk dibaik pulih segera hasil sumbangan Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bagi meringankan beban mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 1:35 PM