AIR sungai yang jernih dengan pemandangan mempesona membuatkan Lata Belatan antara destinasi yang harus dikunjungi.
myMetro

Terletak di Besut, Terengganu, Hutan Lipur Lata Belatan sememangnya destinasi yang harus dikunjungi terutama bagi pencinta alam semula jadi dan air terjun yang memukau.

Menjadi pintu masuk utama kepada pendaki ke Gunung Tebu, air terjun dan sungai yang mengalir di Lata Belatanini begitu sejuk sekali gus menjadikan ia antara destinasi popular.

Di kunjungan penduduk tempatan dan pelancong asing yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi di sini.

Selain air terjun yang cukup mengujakan itu, di bahagian bawah air terjun ini terdapat satu sungai yang jernih tanpa batu-batuan.

Jadi, jika anda datang bersama anak yang masih kecil, ia antara tempat yang selamat untuk mereka berendam sambil bermain air.

Bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung pelbagai kemudahan disediakan termasuklah gerai, tapak perkhemahan, tempat letak kenderaan dan tandas.

Terletak, lebih kurang 118 kilometer dari Kuala Terengganu dan kira-kira 24 kilometer daripada bandar Jertih, hutan lipur ini dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Bagi aktiviti termasuk perkhemahan, pendakian Gunung Tebu dan bermalam sila berhubung dengan Unit Hutan Lipur dan Rekreasi, Ibu pejabat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 10:46 AM