NORSHAHRUL (kanan) perlu lebih tenang di depan gawang lawan.

Shah Alam: Penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha tetap tenang meskipun sedar dihimpit tekanan untuk menghapuskan badi ketandusan jaringan dalam kempen Piala AFF 2014 kali ini.

Selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan, pemain berusia 28 tahun itu belum mengotakan janjinya untuk meledak gol pertama selepas kali terakhir melakukannya pada Oktober 2013 ketika seri 1-1 dengan Bahrain di Stadium Shah Alam pada aksi kelayakan Piala Asia 2015.

Norshahrul atau turut senang disapa Mat Yo bakal turun di stadium sama esok bagi misi penting menewaskan Vietnam bagi pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF.

Sama ada mampu melakukannya di depan penyokong sendiri bergantung kepada kemampuannya menyerap tekanan.

“Tekanan setiap perlawanan ada cuma bagaimana kita mengawal tekanan itu penting. Saya mengharapkan sokongan penyokong untuk membantu pemain melakukan yang terbaik ketika menentang Vietnam nanti,” katanya.

Pertembungan Malaysia, juara 2010 dengan Vietnam, juara 2008 pasti menjanjikan saingan mendebarkan apatah lagi kedua-dua pasukan baru bertemu pada 16 November lalu di Hanoi dengan keputusan memihak kepada tuan rumah 3-1.

Norshahrul yang turut beraksi dalam perlawanan itu dan terlepas dua peluang terbaik menjaringkan gol, sebelum terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pertahanan Muslim Ahmad dibuang padang, yakin rekod perlawanan itu tidak boleh diambil kira.

“Kali ini bermain di tempat sendiri dan kita tidak boleh mensia-siakan kelebihan ini. Semua pemain kena fokus dan saya yakin kami boleh mendapat keputusan lebih baik.

“Kalau kita lihat pada perlawanan itu, kami bermain baik pada babak pertama dan mereka hanya mula menyerang apabila kami kehilangan seorang pemain. Harap kali ini kami dapat menyempurnakan setiap peluang dan ‘menamatkan’ permainan lebih awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 7:49 AM