myMetro

Kuala Lumpur: Nasim Sdn Bhd, pengedar kenderaan jenama Peugeot di negara ini menyasarkan jualan antara 60 sehingga 80 unit sebulan menerusi model baharu Peugeot 408 e-THP.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, kehadiran Peugeot 408 e-THP dilihat tepat selepas model terdahulu terjual hampir 5,000 unit sejak diperkenalkan pada 2012, ia menjadi penyumbang utama jualan dalam kereta segmen C jenama itu dengan mencatatkan 35 peratus.

“Peugeot 408 e-THP dibina menggunakan platform Efficient Modular Platform2 (EMP 2) di mana kerangka lebih ringan sehingga 140 kilogram serta memiliki pusat graviti rendah.

“Ia menggunakan enjin turbo bertekanan tinggi yang menghasilkan kuasa sehingga 167PS dan tork 245Nm dengan dipadankan kotak gear enam kelajuan QuickShift,” katanya selepas pelancaran Peugeot 408 e-THP.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Pengarah Urusan Automobil Peugeot ASEAN, Lionel Faugeres.

Model baharu itu ditawarkan dengan enam pilihan warna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:13 AM
SAMSON (kanan) bersama SM Nasarudin (dua dari kiri) dan Faugeres (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Peugeot 408 e-THP, semalam.