Kakitangan SWCorp dan penyelia syarikat konsesi melakukan operasi memeriksa pengasingan sisa pepejal di lima taman perumahan sekitar Melaka, hari ini. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Nur Ain Musdad
am@hmetro.com.my


Melaka: Jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan di Sungai Udang menurun daripada 1,200 tan kepada 920 sehari sejak Program Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) dilancarkan di negeri ini mulai 1 September tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri Zulkifli Tamby Chik berkata, pihaknya menyasar jumlah itu dapat dikurangkan sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Hari ini, SAS mengadakan operasi penguatkuasaan di lima taman perumahan di negeri ini, bermula 9 pagi hingga 1.30 tengah hari membabitkan 28 pegawai SWCorp dan penyelia syarikat konsesi.

"Kami mengeluarkan tujuh Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kepada pemilik premis atau penyewa yang didapati tidak melakukan pengasingan sisa pepejal dengan betul.

"Pemilik atau penyewa premis yang menerima NPK berkenaan perlu ke pejabat SWCorp berhampiran bagi mendapatkan keterangan mengenai NPK dalam tempoh 14 hari," katanya.

Menurutnya, penduduk perlu melakukan pengasingan sisa pepejal mengikut empat kumpulan iaitu baki (sisa makanan, lampin pakai buang dan lain-lain), plastik, kertas serta sampah lain termasuk kaca dan aluminium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 6:51 PM