Tiga buku yang diharamkan oleh KDN kerana mengandungi ajaran Syiah.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), berkuat kuasa 22 April lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, penerbitan itu ialah Rasulullah SAW Sejak Hijrah Hingga Wafat terbitan Pustaka Hidayah, Bandung, Indonesia; Tafsir Ayat-Ayat Kematian terbitan Pustaka Hidayah, Bandung, Indonesia dan Sinema Spiritual:Dramaturgi Dan Kritikan terbitan Unit Buku Harakah, Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana ia mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam kerana mengandungi atau seolah-olah mempromosikan unsur ajaran atau amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Alwi berkata, keputusan itu dibuat bagi menghalang cubaan menyuntik propaganda Syiah menerusi pengedaran atau penjualan penerbitan kepada orang awam.

Penerbitan itu menurutnya, boleh mengelirukan pemikiran umat Islam dan mungkin memberi implikasi negatif daripada sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.

"Sehubungan itu, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa juga maksud seperti itu seberang hasil penerbitan larangan, melakukan kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8 (2) Akta 301," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 5:37 PM