KEADAAN pacuan pacuan empat roda yang melanggar tiang lampu di pembahagi jalan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Lelaki maut manakala isteri dan anaknya parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di pembahagi jalan di Jalan Lintas, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.20 tengah malam itu, mangsa yang memandu kenderaan, Patrick Paut, 60, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian manakala isteri dan anaknya berusia 61 dan 32 tahun yang parah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dari arah lampu isyarat Bukit Padang menghala ke Inanam hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan.

"Pemandu tersepit dan dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Dua lagi penumpang iaitu isteri dan anak pemandu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke HQE II untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 12:33 PM