JURUSOLEK ‘tiru’ karya seni terkenal pada wajah sendiri.
JURUSOLEK ‘tiru’ karya seni terkenal pada wajah sendiri.
JURUSOLEK ‘tiru’ karya seni terkenal pada wajah sendiri.

Ramai berpendapat solekan adalah seni. Tetapi, jurusolek berbakat ini menjadikannya dua kali lebih seni

daripada biasa apabila mencipta semula karya pelukis terkenal pada wajahnya sendiri.

Lexie Lazear dari California, bukan hanya menghasilkan semula lukisan oleh Van Gogh, Picasso dan Degas di seluruh kelopak mata, pipi dan bibirnya, sebaliknya mentafsirkannya pada wajah sehingga menjadi terkenal di Internet.

“Yang paling saya suka ialah memutuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya dan bagaimana untuk tidak hanya meniru lukisan pada wajah, sebaliknya mewujudkan elemen solekan fantasi,” katanya.

Lexie bijak bermain warna dan pernah berkongsi imej reka bentuk aneh yang dicipta pada wajahnya dalam Instagram.

Antara solekan yang pernah dibuatnya ialah kesan khas pada bulu mata supaya nampak seperti menangis air mata pelangi. Kadang-kadang, dia juga menggunakan bahan seperti ‘glitter,’ manik dan permata palsu untuk menjadikannya lebih menarik.

“Bagi saya, solekan ialah satu cabang seni. Ia mempunyai dua fungsi. Ramai yang memakainya setiap hari sebagai sebahagian daripada gaya tersendiri atau untuk keyakinan. Namun ia juga seperti cat dengan wajah sebagai kanvas,” katanya.

Lexie banyak melihat seni, alam semula jadi dan benda di sekeliling untuk mendapatkan inspirasi.

Pengikut di laman Instagramnya begitu kagum dengan karya yang dipamernya. Dia juga dibanjiri pujian serta inspirasi untuk projek seterusnya.

Selain berkongsi lukisan seni pada wajahnya, Lexie juga menyenaraikan produk yang digunakannya pada setiap imej, bagi sesiapa yang mahu mencipta semula rupa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:56 AM