PREKUEL filem Habibie & Ainun dedah cinta pertama bekas Presiden Indonesia ketika menuntut.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Ketika filem Habibie & Ainun ditayangkan di Indonesia pada 20 Disember 2012, ia berjaya menjadi satu-satunya filem pecah panggung di negara itu dengan jumlah penonton 4.7 juta orang.

Filem terbitan MD Pictures arahan Faozan Rizal itu dibintangi pelakon handalan Reza Rahardian, Bunga Citra Lestari dan Tio Pakusadewo.

Kini menerusi syarikat produksi sama, mereka membawa pula prekuel filem berkenaan berjudul Rudy Habibie atau Habibie & Ainun 2.

Kali ini filem yang mengisahkan mengenai bekas Presiden Indonesia yang ketiga mendapat sentuhan sutradara hebat, Hanung Bramantyo.

Disebabkan Reza berjaya memaparkan lakonan cemerlang dalam Habibie & Ainun, sekali lagi aktor itu diberi kepercayaan untuk membawakan watak Habibie.

Turut berlakon ialah Chelsea Islan, Ernes Prakasa dan Indah Permatasari.

Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia bermula 25 Jun ini dan penonton di negara ini akan dapat menontonnya pertengahan Julai ini dibawakan syarikat pengedaran Antenna Entertainment Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Antenna Entertainment Ashraff Reza Anand berkata, Rudy Habibie mengisahkan Habibie ketika mudanya yang kerap disapa dengan nama Rudy Habibie.

“Ketika diterbitkan pada 2012, Habibie & Ainun adalah filem paling berjaya di Indonesia. Oleh itu saya yakin, prekuel filem ini juga akan mengulangi kejayaan filem pertama dulu.

“Rudy Habibie mendedahkan cinta pertama Rudy dengan gadis Jerman bernama Ilona. Mereka jatuh cinta ketika Rudy menyambung pengajiannya di negara itu. Pasti penonton mahu tahu apa terjadi dengan cinta mereka sehingga akhirnya Rudy bertemu jodoh dengan Ainun.

“Selain kisah cinta antara Rudy dan Ilona, filem ini turut disuntik unsur komedi dengan kehadiran pelakon komedi popular Indonesia seperti Ernest Prakasa, Boris Bokir dan Pandji Pragiwaksono,” katanya.

Menurut Ashraff, secara ringkasnya Rudy Habibie mengisahkan perjuangan anak muda yang memiliki banyak impian dan cintanya yang berliku.

Dalam kekangan kewangan, dia dihantar belajar ke Jerman dan terpaksa menanggung kerinduan teramat sangat terhadap keluarganya di Indonesia.

“Filem itu digarap daripada kisah benar Habibie atau nama sebenarnya Bacharuddin Jusuf Habibie yang memerintah negara itu dari 1998 hingga 1999. Segala pengorbanannya untuk mencapai cita-cita dan mencari cinta sejati pasti menyuntik semangat kepada anak muda sekarang yang menggalas cabaran besar untuk berjaya,” katanya.

Untuk memberi kesan yang mendalam kepada penonton, lagu runut bunyi filem itu ditulis Melly Goeslaw yang memilih Cakra Khan untuk menyanyikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 10:41 AM