KONVOI kereta perisai yang membawa lapan warga Bangladesh itu ke mahkamah, semalam.

Singapura: Empat pekerja Bangladesh berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah di sebuah mahkamah, di sini semalam atas tuduhan mengumpul dana bagi melancarkan serangan pengganas di negara asal mereka.

Semua lelaki berusia 26 hingga 31 tahun itu dibawa ke mahkamah menaiki tiga kereta perisai dan menjadi individu pertama disabitkan di bawah undang-undang Singapura berkaitan pembiayaan aktiviti keganasan.

Hakim mensabitkan mereka semua dengan tuduhan itu dan hukuman terhadap tertuduh akan diputuskan mahkamah pada 21 Jun ini.

Menurut dokumen mahkamah, tertuduh menyumbang, mengumpul atau memiliki dana untuk tujuan keganasan berjumlah S$60 (RM180) hingga S$1,360 (RM4,070).

Mereka berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda maksimum S$500,000 (RM1.5 juta).

Pendakwa raya berkata, ketua kumpulan, Rahman Mizanur, 31, beberapa kali cuba menyertai militan Daish, tetapi tidak berjaya kerana gagal mendapatkan visa ke Turki atau Algeria.

Dia kemudiannya datang ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh binaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:44 AM