Valletta, Malta: Gandingan penyerang baru Itali, Ciro Immobile dan Simone Zaza gagal menyinar ketika menentang Azerbaijan Jumaat lalu namun mereka tampak akan diberikan peluang sekali lagi untuk mendapatkan keserasian berdepan Malta pada pusingan kelayakan Euro 2016 Kumpulan H, awal pagi esok.

Dengan Mario Balotelli masih bergelut untuk mendapat rentak bersama kelab baru Liverpool dan Giuseppe Rossi pula masih dihimpit kecederaan, jurulatih Antonio Conte menyandarkan harapan kepada dua penyerang itu dalam kesebelasan utama ketika menang 2-1 di Palermo.

Walaupun kedua-dua pemain itu gagal menjaringkan gol namun Conte masih menaruh keyakinan kepada mereka.

Kekuatan Immobile dan gerakannya berjaya mencipta ruang buat rakan sepasukan meskipun pasukan pelawat meletakkan ramai pemain bertahan dan bekas penyerang Torino itu menampilkan keyakinan dan kesungguhan selepas berpindah ke kelab Jerman, Borussia Dortmund pada musim panas lalu.

Zaza yang beraksi dengan pasukan kerdil Serie A, Sassuolo mempunyai kemahiran untuk mencipta gerakan yang tidak disangka apabila dia nyaris menjaringkan gol menerusi sepakan akrobatik. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM