MD Nasir (tiga kiri) membuat pemeriksaan ke atas bungkusan plastik mengandungi mi yang menggunakan logo halal yang tidak diperakui JAKIM. FOTO ihsan KPDNKK
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Kilang memproses mi diserbu penguat kuasa Kementeriann Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguaan (KPDNKK) negeri kerana menggunakan logo halal yang tidak diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Jelutong di sini, pagi tadi.

Serbuan 10.30 pagi itu turut membabitkan sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNKK negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang diketuai Timbalan Ketua Pengawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Md Nasir Mohamad.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Suhaimi Mat Sari berkata, pemeriksaan dijalankan hasil maklumat awam yang diterima mengenai aktiviti kilang memproses mi yang tidak menggunakan logo halal sah.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan didapati tujuh pekerja warga asing sedang memproses mi yang dibungkus di dalam plastik dan mereka tersentak dengan kehadiran pegawai penguatkuasa KPDNKK.

"Hasil pemeriksaan didapati bungkusan mi dan kuetiau menggunakan logo halal tidak sah atau diperakui pihak JAKIM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Dalam pemeriksaan itu, empat gulung plastik dan lebih kurang 10 kilogram mi dan kuetiau dirampas untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 6:23 PM