Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan dijangka memberi kesan secara langsung kepada harga kediaman, namun ia tidak bermakna pembeli perlu menangguhkan pembelian kediaman sekiranya ia berada dalam perancangan.

Pengurus Urus Insan Sdn Bhd, Zaidi Ismail berkata, sama ada GST dilaksanakan atau tidak, harga kediaman biasanya akan meningkat, namun pada kadar rendah.

“Peningkatan ini normal dalam sektor hartanah dan ia bukan boleh dihalang dengan mudah. Umpama melihat pokok tumbuh meliar, kita tidak boleh menghalangnya daripada terus tumbuh,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, bagi menghadapi GST, pembeli perlu menilai kemampuan kewangan masing-masing dan membeli rumah dalam kadar kemampuan.

“Ini perkara paling penting perlu dinilai kerana jika pembeli membeli rumah di luar kemampuan mereka, maka ia menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum membuat keputusan membeli kediaman, pembeli perlu menyenaraikan jumlah pendapatan paling rendah mereka boleh peroleh dan jumlah perbelanjaan paling tinggi mereka perlukan.

“Sebagai contoh, sekiranya pembeli mempunyai pendapatan antara RM2,500 dan RM3,000 mereka perlu menganggap pendapatan mereka hanya RM2,500.

“Manakala, perbelanjaan bulanan mungkin antara RM1,000 dan RM1,500. Untuk lebih selamat mereka perlu anggap perbelanjaan bulanan RM1,500 setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, kaedah berkenaan menjadikan pendapatan bersih sekitar RM1,000 sebulan dan jumlah berkenaan menentukan kediaman jenis apa mereka mampu miliki.

“Dalam contoh diberi, kadar kemampuan pembeli sekitar RM1,000 dan mereka perlu mendapatkan rumah yang memerlukan pembayaran bulanan dalam lingkungan harga itu.

“Sekiranya pembeli memaksa diri mendapatkan rumah dengan bayaran lebih tinggi, ia secara tidak langsung mendedahkan mereka pada risiko bebanan kewangan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:02 AM