Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Mayat wanita lengkap berpakaian ditemui terapung berhampiran jeti nelayan di muara Sungai Klebang Besar, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mayat wanita berusia 40-an itu ditemui nelayan yang kebetulan sedang menuju ke bot miliknya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mayat wanita berkenaan ditemui terapung dalam keadaan terlangkup dibawah rimbunan pokok kiambang di muara sungai.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh empat jam lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang belum kembung dan masih lengkap berpakaian.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut keatas badan mangsa akan dijalankan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan ahli keluarganya sudah maklum mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 3:43 PM
MAYAT mangsa yang ditemui terapung. FOTO Rasul Azli Samad