TENTERA Iraq bersiap sedia untuk memasuki bandar Fallujah, semalam.
AFP

Baghdad: Tentera Iraq memasuki bandar Fallujah dari tiga arah semalam, seterusnya membawa pertempuran sejak seminggu lalu ke fasa baru dalam usaha menumpaskan Daish di situ.

Usaha menawan semula bandar itu - yang pertama dirampas Daish daripada kerajaan pada 2014 - berlaku ketika pertempuran turut meletus di Syria yang mengakibatkan sejumlah besar orang awam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Pasukan diketuai kumpulan antipengganas elit serta yang paling terlatih Iraq, CTS, memasuki Fallujah sebelum subuh, kata komander tentera, Leftenan Jeneral Abdelwahab al-Saadi

“Tentera Iraq memasuki Fallujah dengan bantuan perlindungan udara daripada pakatan tentera antarabangsa, tentera udara Iraq selain disokong meriam dan kereta kebal,” katanya.

Pembabitan CTS menandakan permulaan fasa baru pertempuran di bandar raya itu. Tentera Amerika Syarikat terbabit dalam peperangan di bandar berkenaan pada 2004, pertempuran paling sengit mereka sejak Perang Vietnam.

Operasi sejak seminggu lalu itu sebelum ini memfokuskan untuk menawan semula kawasan pinggir Fallujah yang terletak 50 kilometer ke barat Baghdad.

Hanya beberapa ratus keluarga sempat keluar dari Fallujah sebelum serangan dilancarkan, dengan kira-kira 50,000 orang awam dianggarkan masih terperangkap di situ. Ia mencetuskan kebimbangan kemungkinan mereka akan dijadikan perisai manusia oleh Daish.

Fallujah satu daripada dua bandar utama di Iraq yang masih dikuasai Daish.

Bandar kedua, Mosul juga bandar kedua terbesar Iraq dijadikan ‘ibu negara’ kumpulan itu, mula diserang pasukan bersenjata Kurdis, Ahad lalu.

Kira-kira 1,000 anggota Daish dipercayai berada di Fallujah dengan tentera menjangkakan pertempuran sengit, walaupun kumpulan itu semakin lemah sejak beberapa bulan lalu akibat menjadi sasaran serangan pelbagai pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 10:55 AM