MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
AZEMIR Sidu. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa Azemir Sidu, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD SPT maut selepas terjunam 10 meter dari jejambat Jalan Sungai Rambai di sini.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Padang Lalang itu dalam perjalan ke tempat kerjanya di Jalan Perda Utama.

Sumber berkata, sebaik tiba di atas jejambat Jalan Sungai Rambai, motosikal Azemir hilang kawalan menyebabkan mangsa terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan konkrit di situ.

Katanya, ekoran rempuhan berkenaan mangsa terjunam ke dalam lubang di bawah jejambat.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kerana terjunam sehingga memecahkan penutup konkrit lubang itu.

"Azemir juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 10:50 AM