GAMBAR yang dimuat naik militan IS ke Internet menunjukkan seorang anggota tentera rejim Syria disoal sebelum dipenggal di Deir Ezzor.
AFP

Beirut

Militan Negara Islam (IS) semakin hampir untuk menguasai pangkalan udara tentera kerajaan Syria di Deir Ezzor, wilayah di timur negara itu.

Kumpulan berkenaan menawan perkampungan Al-Jaffrah yang terletak bersebelahan pangkalan berkenaan semalam, sekaligus mengepungnya kecuali satu laluan sempit di sebelah barat, kata kumpulan pemerhati bagi hak asasi manusia Syria.

IS menguasai hampir keseluruhan wilayah Deir Ezzor tetapi separuh daripada ibu negeri di wilayah berkenaan masih lagi di bawah penguasaan tentera Syria yang setia kepada rejim Bashar al-Assad, termasuk pangkalan udara itu.

Wilayah yang kaya dengan sumber minyak berkenaan terletak di antara wilayah Raqa dan sempadan Iraq.

IS melancarkan semula serangan terhadap pangkalan udara itu awal minggu ini.

Pertempuran yang meletus menyebabkan sekurang-kurangnya 30 tentera dan anggota militan yang menyokong Bashar terbunuh di samping 27 militan IS.

Dua tentera kerajaan Syria yang terbunuh itu ditangkap sebelum dipenggal, lapor kumpulan pemerhati itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 15 anggota IS mati dalam serangan udara yang diketuai Amerika Syarikat terhadap konvoi kumpulan itu berhampiran Albu Kamal, daerah yang bersempadan dengan Iraq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM