Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Karnival Harian Metro (HM) Padat di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam yang bermula hari ini, mulai jam 10 pagi hingga 7 petang dan esok mulai jam 10 pagi hingga 12 malam menjanjikan pelbagai aktiviti menarik.

Kemuncak acara pastinya Konsert Karnival HM Padat yang menampilkan nama besar seperti Nidji dari Indonesia, Hyper Act, Ajai, Hazama, Foq, Aweera, Kaka Azraff, Asmidar, finalis Akademi Fantasia (AF) 2014 Ewal dan Nuha, Fahmie Mentor Legend, Syamin serta kemunculan terbaru Ratu Dangdut tersohor Amelina bermula jam 8.45 malam esok di lokasi yang sama.

Dihoskan pengacara tidak asing, AG HotFM dan pelawak popular Jihan Muse, konsert berkenaan bukan saja menampilkan persembahan nyanyian, tetapi penonton juga berpeluang mendapat hadiah istimewa menerusi kuiz ringkas.

Dalam konsert itu, pentas bakal hangat dengan pelbagai kejutan menarik di mana beberapa penya­nyi akan bergabung mendendangkan lagu popular. Senarai lagu yang dipersembahkan juga bakal meng­gabungkan lagu hebat lama dan baru.

Ini termasuk taya­ngan video menarik di belakang tabir yang dirakam khas selain kemunculan istimewa beberapa artis termasuk juara AF 2014 iaitu Firman.

Selain itu, pengisian aktiviti sepanjang dua hari karnival berkenaan menjanjikan pengunjung tidak akan pulang dengan kecewa. Apa yang pasti, pelbagai hadiah menarik disediakan buat pengunjung bertuah di beberapa gerai yang disediakan.

Selain pameran 'autoshow' yang sememangnya mempunyai peminat tersendiri, juga diadakan perlawanan gusti tangan, program masakan dan banyak lagi.

Bagi yang memiliki bakat dalam nyanyian mahupun bidang muzik, pertandingan karaoke akan diadakan bermula jam 11 pagi ini dan pertandingan Battle of the Bands bermula jam 11 pagi esok.

Sementara itu, pe­nyertaan untuk pertandingan mencungkil bakat jurumekap Avon Glam Look With Matte di gerai Avon masih dibuka di mana ia menampilkan penyanyi Alyah sebagai juri mulai jam 2 petang esok.

Peserta yang berminat boleh mendaftar secara 'walk ini' esok dengan membawa model sendiri. Pemenang bakal menerima hadiah lumayan berupa barangan kosmetik Avon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM