Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Memakai tudung hingga menutup bahagian dada suatu kewajipan ke atas wanita Islam dalam semua keadaan.

Meskipun agama tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen terkini, pastikan jika mahu bertudung, sebaiknya biarlah menutup aurat dengan sempurna.

Ada juga wanita yang mengatakan jika kepala sudah kemas diliputi tudung, ia sudah dikira menutup aurat sedangkan tuntutan itu tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher atau dada.

Menyedari hakikat berkenaan, galeri hijab dan busana terkenal Ratu, tampil dengan koleksi rekaan terkini untuk Muslimah.

Menurut pengasasnya, Juwita Abdullah, 45, koleksi berkenaan direka bagi memenuhi permintaan pasaran terutama pelanggan setianya.

Selain jenis tudung segera dan mudah dipakai, terdapat beberapa rekaan lain yang bakal menawan hati wanita antaranya selendang, selendang segera dan tudung sarung.

Koleksi berkenaan antaranya ialah Jameela bercorak eksklusif, Laila polos, Sofea bercorak, Qaira dan Addura yang mampu memenuhi cita rasa Muslimah moden kontemporari.

Berbanding koleksi sebelumnya, himpunan terbaru itu menggunakan sifon dan lycra sebagai material utama kerana material berkenaan selesa dipakai meskipun seharian selain mudah digayakan.

"Kami mengetengahkan koleksi baru ini dengan pilihan rona lembut seperti pastel dan bercorak. Ia sesuai untuk semua peringkat umur terutama golongan wanita muda.

"Koleksi tudung ini sudah pun berada di pasaran sejak akhir November lalu," katanya.

Sempena sambutan ulang tahun keenam penubuhan jenama itu, Juwita berkata, pihaknya menawarkan diskaun potongan hebat kepada pelanggan setianya.

Tawaran sehingga 4 Januari itu boleh didapati di semua cawangan jenama berkenaan di seluruh negara termasuk pembeli menerusi laman web www.ratu2u.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM