Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itulah yang boleh diterjemahkan pada rezeki yang diraih penyanyi Mamat serta Ikka Razman dan pelakon baru, Mimi Lana.

Bersandarkan kepercayaan dan keyakinan pada bakat mereka yang pasti mendapat tempat pada kalangan masyarakat tempatan, ketiga-tiganya mendapat peluang berharga.

Mamat, Ikka dan Mimi dipilih Datin Zaiton Saad yang juga pengasas produk kecantikan dan kesihatan Q Life dan suami, Datuk Samsul Hamzah untuk menjadi duta.

Bagi Mamat dan Ikka, mereka digandingkan untuk menjadi duta kembara Q Life seiring dengan pelancaran single duet, Keluhan Cinta.

Mamat yang juga bekas vokalis kumpulan Exists berkata, dia sangat berbesar hati dengan peluang dan kepercayaan diterima daripada Q Life.

"Selepas sekian lama menyepi diri dengan pelbagai kisah peribadi yang menghimpit, kini adalah masanya untuk saya melakukan kemunculan semula.

"Apatah lagi, nampaknya masyarakat masih boleh menerima kemunculan saya dan syukur di atas sokongan diberikan," kata Mamat yang kini berentap dalam program Gegar Vaganza terbitan Astro.

Sebagai duta kembara, Mamat dan Ikka dijangka akan menjelajah ke karnival Q Life yang berlangsung di lokasi seperti Melaka, Pulau Pinang, Johor dan seluruh negara.

Selain membantu publisiti produk Q Life, Mamat dan Ikka juga bertanggungjawab mempromosikan single duet nyanyian mereka, Keluhan Cinta.

Mamat berkata, apa yang pasti dia takkan mensia-siakan peluang diperoleh itu, apatah lagi pihak Q Life sanggup menaja pembikinan single terbabit.

Bagi Mimi Lana atau Mimi Roziana Zainal Abidin, 19, pula dia menganggap ia satu peluang tak pernah diduga. Apatah lagi, mengenangkan dirinya yang masih baru dalam industri seni tanah air.

"Sebagai pendatang baru, semestinya saya amat gembira dengan peluang diberikan. Ditambah, saya juga mendapat kontrak selama dua tahun sebagai duta produk Q-UTE Secret Miracle Skincare.

"Janji saya, sudah tentu akan memberikan kerjasama yang terbaik. Bahkan, saya akan pastikan mampu membahagikan masa dengan baik di antara karier lakonan dan duta produk.

"Setakat ini, bagi melancarkan segala urusan kerjasama saya selesa berbincang dan memaklumkan kesibukan jadual penggambaran lebih awal.

Mimi yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbarunya Cinta Okinawa arahan Amor Rizan berkata, dia tidak cerewet dalam memilih watak. Ujarnya asalkan sesuai, dia terima.

Apapun, Mimi berkata bagi maklumat lanjut mengenai Q Life boleh layari laman sesawang www.qlife.com.my dan e-mel di business@qlife.com.my.

Terdahulu, Mamat, Ikka dan Mimi ditemui pada majlis pelancaran produk Q Life dan single duet, Keluhan Cinta di restoran Khadijah's Kitchen Setapak, baru-baru ini.

Sementara itu, Zaiton berkata, beliau memilih Mimi kerana bintang baru itu seorang yang komited dan mampu memberi kerjasama baik.

Ujar Zaiton lagi, memandangkan Q Life adalah produk kecantikan dan kesihatan baru di pasaran, maka pemilihan pelakon baru seperti Mimi adalah tepat.

Katanya, setakat ini pun Mimi sudah menggalas tanggungjawab dan kepercayaan diberi sebaik mungkin. Begitu juga dengan Mamat dan Ikka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM