Penunggang menolak motosikal masing-masing ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk pemeriksaan. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Sebanyak 95 saman kerana pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala 10 motosikal disita dalam Ops Lalu Lintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula 11 malam dan tamat 5 pagi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, 209 motosikal dan sembilan kereta diperiksa sebelum 95 saman dikeluarkan.

“Kesalahan tertinggi dicatat membabitkan penunggang motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut ukuran ditetapkan serta ubah suai.

"Turut ditahan empat penunggang berusia antara 18 hingga 22 tahun kerana didapati positif dadah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan wanita 28 tahun ditahan apabila mereka didapati tersenarai dalam orang dikehendaki polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:01 PM