WARGA Indonesia, Hasan (kiri), Gomgom Manurung (dua dari kiri) dan Laurensius Molo dihadapi pertuduhan memiliki hasil hutan pokok gaharu secara haram di Mahkamah Sesyen, Kota Tinggi. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi dekat sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki kayu gaharu serta masuk ke Hutan Simpan Mersing tanpa permit, minggu lalu.

Tertuduh, Hasan, 41; Gomgom Manurung, 33, dan Laurensius Molo, 31, membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Berdasarkan pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa memiliki kayu gaharu secara menyalahi undang-undang di Kompartmen 15, Hutan Simpan Mersing dekat sini, kira-kira 10.15 pagi, 22 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memasuki Hutan Simpan Mersing dekat sini, tanpa kebenaran atau permit yang sah pada waktu serta hari yang sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 47(4) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 1:52 PM