WANITA dan kanak-kanak dilihat mencari tempat perlindungan selepas tentera Iraq meningkatkan serangan di Fallujah.

Baghdad: Beratus-ratus orang awam yang tinggal berhampiran Fallujah melarikan diri kelmarin selepas tentera Iraq meningkatkan serangan untuk menawan semula bandar itu dari kumpulan militan Daish.

Dianggarkan 50,000 orang awam masih terperangkap di Fallujah dan kumpulan hak asasi manusia bimbang keselamatan mereka mungkin terancam.

Tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mendakwa berjaya membunuh ramai militan Daish termasuk seorang komander kanan.

“Kami membunuh lebih 70 musuh termasuk komander militan Daish di Fallujah, Maher Al-Bilawi,” kata jurucakap tentera AS, Steve Warren.

Warren berkata, komander Daish itu dibunuh dua hari lalu, tetapi pegawai Iraq melaporkan kematian lelaki berkenaan pada minggu lalu.

Berpuluh-puluh ribu tentera Iraq dikerah dalam misi untuk menawan semula Fallujah yang bermula pada 22 Mei lalu.

Fallujah dan Mosul adalah dua bandar besar yang masih berada di bawah kawalan militan Daish.

Seramai 1,000 militan Daish masih bertahan di Fallujah dan tentera Iraq dilaporkan semakin menghampiri bandar itu.

Fallujah yang ditawan militan Daish pada Januari 2014 dianggap antara kubu kuat dan terpenting kumpulan militan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:06 AM