FILEM My Stupid Boss.

Filem tempatan kita sokong, filem luar juga kita tonton. Dua filem dari seberang yang dibawa masuk baru-baru ini, Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) dan My Stupid Boss memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan garapan berbeza daripada karyawan Indonesia.

Kelebihan filem Indonesia kerana kita lebih mudah memahami bahasa dan budayanya yang sama tetapi tentunya tidak semua filem dari luar itu mampu menepati selera penonton kita.

Sambutan penonton tempatan terhadap dua filem ini juga jauh berbeza. Kalau dilihat dari segi barisan pelakonnya, kedua-duanya dijayakan pelakon hebat dan dikenali bukan saja di Indonesia tetapi juga di sini.

Nama seperti Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra untuk AADC2 manakala My Stupid Boss gandingan Bunga Citra Lestari (BCL) dan Reza Rahadian memang sudah dikenali.

Dari segi genre juga berbeza. Satu filem cinta manakala satu lagi komedi. Dari segi jalan cerita dan lakonan, memang kedua-dua karya ini tidak mengecewakan.

Memang boleh layan menonton lakonan Bunga dan Reza yang turut dibantu pelakon Malaysia, Chew Kin Wah, Bront Palarae dan Atikah Suhaimie.

Lakonan Reza berbeza dengan filemnya sebelum ini dan mengejutkan apabila pelakon yang sering dicalonkan merebut trofi Aktor Terbaik di Festival Filem Indonesia (FFI) dan pernah menang dua kali, bersedia berlakon karya komedi.

Tambah pula Reza sebelum ini sering diberi watak besar yang diangkat dari kisah tokoh ternama Indonesia. Reza dan BCL juga pernah digandingkan sebelum ini dalam Habibie & Ainun sebagai pasangan suami isteri yang diangkat dari kehidupan bekas Presiden Indonesia.

Kali ini Reza sebagai bos (majikan) dan Bunga pekerjanya (kerani). Dengan perut boroi, kepala botak dan berkumis, Reza mampu mengusik perhatian dengan lakonannya sebagai bos kedekut dan sering membuatkan pekerjanya makan hati.

Latar cerita juga di Kuala Lumpur dan hampir keseluruhan penggambaran di sini dan sebahagian lagi di studio. Ia mengisahkan Diana (BCL) mengikut suami (Alex Abbad) berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai kerani di syarikat Bossman (Reza) asal Indonesia bersama kakitangan orang tempatan.

Mengapa sambutan terhadap dua filem ini berbeza? Tiada kurangnya kedua-dua karya ini tetapi mungkin kerana genre berbeza serta strategi promosi juga tidak sama.

AADC2 bertuah apabila diedarkan Primeworks yang mendapat sokongan padu dari stesen radio, TV dan akhbar di bawah Media Prima Berhad.

Pengedar My Stupid Bos pula bukan calang-calang apabila diedarkan Skop Production Sdn Bhd dan ditayangkan di 83 panggung di seluruh negara serta masing-masing satu panggung di Brunei dan Singapura.

Promosi My Stupid Bos biasa saja seperti kebanyakan filem tempatan lainnya dengan majlis previu bersama media kemudian fotografi bersama media. Tanpa publisiti besar-besaran, agak sukar juga untuk filem itu mendapat sambutan.

Filem My Stupid Boss ditayangkan serentak di empat negara sejak 19 Mei lalu, dikatakan mendapat sambutan agak baik daripada penonton Indonesia.

Difahamkan, filem arahan Upi Avianto dan diterbitkan Falcon Pictures itu mencatat jumlah tontonan 1 juta orang untuk tujuh hari tayangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:03 AM