Tuanku Hajah Haminah bersama Rosmah melawat tapak pameran ketika hadir di majlis perasmian Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC). FOTO Amran Hamid
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) 2015/2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Ketibaan baginda kira-kira 10.20 pagi disambut oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Besar Perak yang juga Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Puan Muda Perak juga Yang Dipertua PPPM Kedah, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Normala Baharudin.

Sejurus tiba, Tuanku Hajah Haminah turut berkenan bergambar kenangan bersama Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa PPPM 2014/2015 sebelum berangkat melawat pameran PPPM di pekarangan LICC.

Dalam titah ucapan perasmian, Tuanku Hajah Haminah yang juga penaung PPPM mahu persatuan itu meneruskan usaha melahirkan golongan wanita, remaja dan dewasa yang berkaliber menerusi penerapan ilmu, kemahiran dan nilai Pandu Puteri demi kepentingan nusa, bangsa dan antarabangsa.

"Kejayaan dan kecemerlangan hari esok bermula dengan langkah hari ini. Beta percaya dengan penglibatan semua pihak, generasi gemilang Malaysia akan dapat kita lahirkan terutamanya menerusi penglibatan remaja dan wanita kita dalam Persatuan Pandu Puteri," titah baginda.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, PPPM mensasarkan jumlah keahlian mencecah 100,000 pada akhir tahun hadapan, berbanding 85,000 ketika ini.

"Bagi mencapai sasaran itu kepimpinan PPPM seluruh negara perlu bekerja keras, merancang dan melaksanakan gerak kerja agar jumlah sasaran keahlian itu menjadi realiti.

"Pertambahan ahli seperti dirancangkan amat penting dalam usaha kita memberi pengalaman kepada lebih ramai ahli untuk menimba ilmu dan kemahiran bersama PPPM," katanya.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Paduka Srikandi kepada Raja Nor Mahani, manakala Anugerah Srikandi diberikan kepada Yang Dipertua PPPM Wilayah Kuala Lumpur, Datuk Yeoh Soo Keng.

Anugerah Asia Pasifik pula diberikan kepada 36 penerima dan Anugerah Pandu Puteri Raja (68 penerima).

Pada akhir majlis, Tuanku Hajah Haminah turut berkenan melancarkan Duit Syiling Peringatan sempena 100 tahun penubuhan PPPM.

Seramai 233 pemimpin PPPM seluruh negara menghadiri mesyuarat selama empat hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 6:49 PM