WILLIAM (kiri) menunjukkan jaket keselamatan yang diletakkan dalam setiap bot ekspres. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
am@hmetro.com.my


Sibu: Dakwaan berlaku kenaikan harga tiket dan ketiadaan jaket keselamatan dalam bot ekspres seperti viral di Facebook adalah tidak benar.

Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) William Jinep berkata, viral di Facebook itu hanya mencetuskan perasaan kurang senang orang ramai yang ingin pulang ke kampung menyambut Hari Gawai.

"Kami sudah membuat pemeriksaan dan mendapati setiap bot ekspres mematuhi arahan penyediaan jaket keselamatan. Kekeliruan timbul apabila ada pengusaha meletakkan jaket keselamatan di bawah kerusi dan ada atas tempat duduk penumpang.

"Mungkin, penumpang yang memuat naik gambar itu tidak tahu jaket keselamatan bot ekspres yang dinaikinya diletakkan di bawah kerusi penumpang.

"Di setiap kerusi dan dinding bot ada nota yang memaklumkan kedudukan jaket keselamatan," katanya.

Menjelaskan mengenai kenaikan harga tambang bot ekspres, William berkata, harga tambang sudah dicetak atas tiket penumpang mengikut kelas.

"Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak menempatkan penguat kuasa di Terminal Penumpang yang memantau harga barangan termasuk harga tiket," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Terminal Penumpang Sibu di sini, pagi tadi.

Lebih 200 penguatkuasa ditempatkan di seluruh negeri bagi operasi sepanjang musim perayaan Hari Gawai yang dibahagikan kepada dua fasa iaitu bermula 22 hingga 30 Mei (Fasa 1) dan 3 hingga 7 Jun (Fasa 2).

Lebih 5,000 penumpang dijangka memenuhi Terminal Penumpang Sibu menjelang hari terkahir sebelum Gawai dan LSS memberi jaminan perkhidmatan bot mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:25 PM