NICOL (depan) menang dua, kalah sekali sebelum mara separuh akhir.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David menghidupkan kembali peluangnya dalam usaha merangkul siri final Kejohanan PSA Dunia, selepas mara ke separuh akhir kejohanan itu.

Nicol yang mengutip satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua perlawanan Kumpulan A, menewaskan pemain nombor enam dunia Nouran Gohar dari Mesir, 11-7, 11-9 pada perlawanan awal pusingan ketiga dan terakhir kejohanan itu yang menggunakan format tiga set.

Nicol berkata kemenangan itu amat bermakna buatnya dan turut memuji pemain muda Mesir itu yang memberi saingan sengit.

“Nouran bermain dengan pantas dan lasak, jadi saya cuba mengikut rentaknya dan gembira berjaya mendapat mata diperlukan.

“Saya puas hati menang 2-0 kerana pada set kedua keputusan mungkin sebaliknya,” kata Nicol dipetik sebagai berkata laman web kejohanan itu, www.worldseriesfinals.com.

Sebelum itu, Nicol menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy 2-0 (11-6, 13-11) dalam pembukaan Kumpulan A sebelum tewas 1-2 (7-11, 11-8, 7-11) kepada pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada perlawanan kedua.

Mengenai perlawanan separuh akhir menentang seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily hari ini, Nicol berkata dia akan memberi tumpuan sepenuhnya.

Raneem antara empat pemain layak ke separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan B.

Lapan pemain terbaik skuasy lelaki dan wanita dalam Ranking Dunia PSA bertarung dalam kejohanan itu untuk menentukan pemenang siri akhir bagi musim 2015/2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 8:44 AM