MARCOS Jr (tengah) disambut penyokongnya di Manila ketika berkempen sebelum pilihan raya 9 Mei lalu.
AFP

Manila: Anak bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos kalah tipis dalam pemilihan naib presiden, mengikut kiraan rasmi yang akhirnya selesai semalam, hampir tiga minggu selepas undian ditutup.

Keputusan itu memusnahkan impian politik keluarganya yang menyasarkan jawatan berkenaan untuk Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, 58, sebagai batu loncatan untuk menjadi presiden seperti mendiang bapanya satu hari nanti.

Rodrigo Duterte menang besar dalam pilihan raya 9 Mei, tetapi perlumbaan jawatan naib presiden akhirnya melihat Marcos kalah kira-kira 263,000 undi kepada Leni Robredo.

Leni dipetik oleh televisyen GMA sebagai berkata: “Proses pemilihan mewujudkan perpecahan dan kita kini perlu bersatu semula membina negara ini sebagai satu bangsa. Duterte memerlukan bantuan semua untuk membina semula negara ini.”

Peguam Marcos, George Garcia berkata, anak guamnya itu menimbang untuk memfailkan rayuan kerana mendakwa 3.9 juta undi untuknya tidak dimasukkan dalam kiraan rasmi.

“Kami mengesyaki undian itu dimasukkan ke nama calon lain. Kami percaya undi itu milik Bongbong Marcos,” katanya.

Presiden dan naib presiden Filipina dipilih melalui pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:03 AM