DEKORATIF pada dinding dengan latar warna lembut.
DI ruang pelbagai guna ini juga ada kalanya menjadi tempat menjamu selera atau bersembang santai.
SENI kerawang pada piano yang mengindahkan sudut pada ruang tamu.
SEGALANYA membawa perincian dekorasi ilham pemilik kediaman sendiri.

Dalam keterujaan menikmati keindahan landskap gaya Inggeris berlatarkan sawah padi di tamannya, pelawaan masuk ke dalam rumah serba unik ini membuka cerita dekorasi tersendiri.

Keramahan tuan rumah Aziz Alang, 63, dan Rasidah Md Hussin, 56, membuatkan penulis seolah-olah sudah lama mengenali mereka.

Ditambah dengan kesediaan pasangan ini berkongsi pelbagai pengalaman mengenai idea dekorasi gaya Inggeris yang diketengahkan pada ruang kediaman di Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor itu.

Tidak keterlaluan jika ada tetamu begitu teruja dengan penataan itu hingga menjadikan segenap sudut sebagai latar menarik untuk dirakam gambar kenang-kenangan.

Nyata Aziz dan Rasidah sudah biasa dengan situasi ‘manis’ itu hingga membuah­kan idea untuk mengubah kedudukan perabot atau aksesori hiasan apabila dirasakan perlu.

Siapa yang tidak kagum jika pelawaan ke ruang tamu disambut dengan sajian warna harmoni cukup menenangkan jiwa dan minda.

Kombinasi ungu dan putih sememangnya membawa gambaran dekorasi lembut mendamaikan.

“Semua ini antara terapi semula jadi yang memberikan seribu keindahan dan sukar untuk kami ungkapkan dengan kata-kata.

“Sebenarnya idea dekorasi gaya Inggeris ini tidak hanya buat tetamu, malah menjadi tatapan terbaik buat ahli keluarga,” kata Rasidah yang begitu menitikberat­kan aspek kekemasan dan kebersihan pada segenap ruang itu.

Cerita dekorasi di ruang tamu tidak terhenti di situ kerana Rasidah sendiri sukar menafikan beliau begitu meminati gaya Inggeris yang dilihat cukup dekat dengan ketenangan dan keindahan.

“Idea dekorasi juga berbeza mengikut cita rasa dan keselesaan. Pada saya padanan warna lembut ini tentunya membantu suasana tampil segar dan sedap mata memandang.

“Susun letak perabot dan aksesori hiasan pula kami kira asalkan selesa, menarik dan sesuai selain melengkapkan tujuan meraikan sesiapa saja yang ada di ruang ini,” kata Rasidah.

Berbangga dan puas de­ngan paparan idea dekorasi yang dizahirkan isteri tercinta, Aziz nyata tidak pernah jemu memberi sokongan tanpa berbelah bagi.

“Sejak mendirikan rumah tangga 36 tahun lalu, penataan ruang yang sempurna menjadi perkara utama buat isteri saya dan ia begitu kena dengan jiwa serta cita rasa kami seisi keluarga.

“Biarpun pada awalnya bukan dekorasi gaya Inggeris yang diketengahkan, ia sudah cukup membuatkan kami selesa,” kata Aziz.

Rasidah pula berkata, penataan gaya Inggeris yang diserlahkan kini adalah kesinambungan tata hias dalam konsep berbeza sejak awal mendiami rumah itu.

“Sedikit demi sedikit dekorasi itu cuba dilengkap­kan mengikut situasi dan persekitaran.

“Hingga terhasil sebuah latar yang menyerikan teratak kami atau lebih tepat rumahku syurga,” katanya.

Semua set perabot termasuk meja dan kerusi makan serta kerusi santai menarik dengan seni kerawang bercat putih.

Kemasan lantai marmar pula menambah selesa pada kaki selain ‘membenarkan’ anda berbaring seketika.

Keserasian ruang tamu dengan kombinasi warna lembut dan harmoni turut memberi tempias kepada ruang pelbagai guna bersebelahannya.

Cuma berbeza pendekatan apabila hijau lembut menjadi warna latar utama dinding ruang itu.

Dibantu dengan kehadiran perabot dan aksesori hiasan putih unik, ruang itu sering menjadi tempat tetamu melepak selain ruang tamu.

“Ada kalanya ia menjadi tempat menjamu selera, bersembang santai sambil memantau anak bermain di taman.

“Ruang ini tidak seluas mana, tapi cukup sebagai tempat berehat bagi melepaskan lenguh sebaik tiba dek jauh perjalanan,” katanya.

Bukan hanya dua ruang itu yang menarik perhatian kerana penataan sempurna pada ruang dapur juga tidak kurang menariknya.

Namun, berbeza sedikit dengan ruang lain apabila dilihat unik dengan menampilkan gaya ala klasik Inggeris.

Aksesori hiasan dan kabinet dapur kayu sememangnya menyerikan suasana menjamu selera yang jendelanya membawa pemandangan indah sawah padi.

Perkongsian gaya dekorasi itu turut menzahirkan idea terbinanya inap desa Roswella Homestay yang diusahakan bersebelahan kediaman utama kini mendapat sambutan.

Berminat sila kunjungi Roswella Homestay di No 66, Jalan Bunga Raya, Kampung Pinang, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:02 AM