SETIAP sudut kelihatan menarik.
AURA segar dan eksklusif di butik Mega Bridal Creations.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Pendapat pereka dalaman New York, Scott Sanders mengenai pilihan warna sesuai pada ruang mencetuskan pelbagai tafsiran kreatif buat peminat dekorasi.

Sanders tidak menafikan kesesuaian warna dipilih bergantung kepada cita rasa anda.

Menurutnya, berdasarkan tiga warna kesukaan, tentukan pilihan supaya anda benar-benar berada dalam suasana diinginkan.

Dua perkara yang menjadi keutamaan ialah fungsi ruang dan kesesuaian warna dengan cita rasa anda.

Lebih membantu apabila warna yang anda pilih memberikan kesan pantulan cahaya.

Lantas, inspirasi warna sekata yang digabungkan dalam satu dekorasi juga bagaikan pengenalan atau sapaan pertama sebaik tetamu bertandang.

Kita juga maklum, warna membawa perlambangan tersendiri yang saling berkait rapat dengan dekorasi.

Masing-masing mempunyai tafsiran atau persepsi berbeza terhadap warna selari dengan budaya, cita rasa dan persekitaran.

Jika dulu pemilihan warna sekata atau senada dilihat idea yang kurang memberikan kesan pada ruang.

Ia nyata berbeza pada hari ini apabila kreativiti dan kepekaan meletakkan kombinasi warna sebagai idea kreatif yang berupaya menampilkan suasana eksklusif.

Mungkin gaya tatahias di Mega Bridal Creations antara yang menarik perhatian sesiapa saja yang pernah singgah di situ.

Seribu satu idea itu juga membuatkan butik pengantin ini memberi keselesaan buat tetamunya.

Sarat dengan perincian aksesori hiasan dan perabot ringkas gaya moden kontemporari, semuanya dilihat menarik dalam warna putih dan krim.

Diselang-seli dengan deretan aksesori hiasan pelbagai guna, ia membawa gambaran suasana segar dan bersih.

Pemilik Mega Bridal Creations Jeslina Ngatman berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menampilkan kelainan pada butik itu supaya pengantin atau sesiapa saja yang datang berurusan lebih jelas gambarannya.

“Semua dekorasi antara pencetus idea untuk mencipta kemeriahan luar biasa majlis perkahwinan daripada pelamin, hantaran, hiasan meja pengantin hingga meraikan tetamu.

“Konsep terbaru pelamin juga kami cuba ketengahkan di sini mengikut keadaan ruang kerana tidak mahu pelanggan sekadar melihat kepingan gambar atau risalah yang kami sediakan semata-mata,” katanya yang tidak menafikan ada bakal pengantin teruja sebaik tiba di butik berkenaan.

Dalam meletakkan Mega Bridal Creations antara terbaik, beliau turut dibantu perancang perkahwinan Syahrulrizal Ahmad Rashidin.

“Masing-masing mempunyai cita rasa berbeza dan tentunya inginkan majlis perkahwinan meriah dan sempurna.

“Sudah tentu dekorasi unik ini banyak membantu dan ramai yang teruja. Belum lagi dikira tetamu yang merakam pelbagai aksi kenangan berlatarkan dekorasi warna sekata dan harmoni yang dilihamkan Mega Bridal Creations,” kata Syahrulrizal.

Berminat sila kunjungi cawangannya di No 51, Jalan Nelayan A, 19/A, Seksyen 19, Shah Alam.

Layari Facebook MEGABRIDALCREATIONS atau Instagram Mega Bridal Creations & Mswg untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM