TRUMP menikmati McDonald’s dalam pesawatnya selepas berkata, dia kini calon sah Parti Republikan.

Billings (Amerika Syarikat): Bilionair hartanah, Donald Trump semalam mendakwa sudah terpilih untuk menjadi calon parti Republikan bagi pilihan raya Amerika Syarikat pada 8 November depan.

Trump berkata, dia sudah memperoleh 1,237 perwakilan untuk membolehkannya memenangi persaingan itu apabila sekumpulan perwakilan dari Dakota Utara berkata, mereka akan memilihnya.

Ia dianggap sebagai kebangkitan luar biasa bagi Trump yang dianggap tokoh fahaman politik baru yang kempennya disifatkan tidak menarik dan penuh dengan publisiti apabila dia mengumumkan pencalonannya Jun lalu.

Dia mengenepikan 16 calon lain.

Beberapa media tempatan yang melakukan analisis sendiri berkata, Trump sudah memperoleh 1,237 perwakilan atau lebih, jumlah yang akan melayakkan dia menjadi calon parti itu.

Parti Republikan tidak akan mengumumkan keputusan rasmi sehingga konvensyen kebangsaan Julai depan.

Bilionair itu diramalkan akan berdepan dengan Hillary Clinton, calon Demokrat pada pilihan raya Presiden untuk menggantikan Barack Obama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 4:48 AM