PENYELAM PDRM bersiap sedia untuk aktiviti pembersihan dasar laut.
ZULKIFLI turut menyelam untuk memantau kerja pembersihan.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Pulau Payar antara 42 pulau di Malaysia yang diwartakan Taman Laut pada 1989 dan sering menerima kunjungan pelancong.

Pulau ini terletak kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Kuala Kedah dan sejam perjalanan dari Pulau Langkawi. Ia menjadi pilihan untuk aktiviti menyelam dan snorkeling kerana dikelilingi terumbu karang berwarna-warni dengan airnya membiru.

Malah, Pulau Payar turut mempunyai pelbagai spesies unik berikutan usaha memberi perlindungan kepada hidupan marin dan memulihara ekosistem terumbu karang di situ.

Tidak hairanlah jika pelancong terserempak ikan yu sirip hitam bebas berenang tanpa sebarang ancaman, selain kehadiran pelbagai jenis ikan menemani pelancong menyelam sambil menikmati keindahan terumbu karang.

Tukun tiruan seperti kubah, konkrit dan seramik turut diletakkan di dasar laut bagi mengimbangi kewujudan terumbu karang.

Pada masa sama, pelbagai kemudahan disediakan di sekitar pulau itu seperti kaunter Pusat Informasi Taman Laut yang menyediakan maklumat lengkap mengenai hidupan marin di pulau tidak berpenghuni yang menawarkan pelbagai tarikan khususnya kepada pencinta alam.

Keindahan pemandangan semula jadi dengan laut membiru turut menyambut ketibaan media bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke pulau berkeluasan 31.2 hektar itu sempena Program Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi PDRM, baru-baru ini.

Menyedari keindahan pulau itu perlu dijaga dan memastikan terumbu karang tidak musnah, PDRM mengambil inisiatif membersihkan dasar lautnya yang disertai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya.

Mereka turut menyelam untuk membersihkan karang snowflake, pukat hantu dan sampah-sarap di pulau itu.

Matlamat utamanya untuk meningkatkan kebersihan ekosistem terumbu karang di perairan ini, selain menyahut hasrat kerajaan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Blueprint 2.0 Amalan

Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM pada 25 Mac lalu.

Karang snowflake ialah sejenis spesies asing berasal dari Haiwaii dipercayai dibawa kapal yang melalui perairan ini hingga mengancam spesies terumbu karang tempatan.

Snowflake mampu merebak dengan cepat menyebabkan ia perlu dibuang bagi mengelakkan terumbu karang sedia ada musnah selain sampah-sarap yang menjejaskan ekosistem pulau ini.

Zulkifli berkata, PDRM terpanggil mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bagi mendokong hasrat kerajaan menjaga, memulihara dan mensejahterakan alam sekitar.

Menurutnya, perubahan cuaca global tidak dapat dihalang, namun usaha boleh dilakukan untuk melambatkannya.

“Oleh itu, aplikasi teknologi hijau ini langkah untuk melambatkan proses perubahan cuaca dunia,” katanya.

Seramai 200 pegawai dan anggota polis dari seluruh negeri termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam aktiviti itu dengan 60 penyelam turun ke dasar laut melakukan aktiviti pembersihan.

Katanya, PDRM serius melaksanakan program seperti itu dan akan berterusan dengan menjayakannya di lokasi lain yang menjadi tumpuan pelancong.

“Dalam kesibukan kita (PDRM) menjaga keselamatan negara, tidak dilupakan tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar. Sebelum ini program sama dilakukan di Pulau Perhentian (Terengganu) dan Sabah,” katanya.

Pulau Payar sering dikunjungi terutama pelancong dari luar negara dengan purata 500 orang setiap hari atau 120,000 pengunjung setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 12:06 PM