NUR Farhan Nabila Zakaria mengekspresikan rasa duka melihat ibunya menderita kanser usus.
MOHD Elmie menunjukkan karya seni yang dihasilkan.
Norsyafiqah Zamal Ishak
rencana@hmetro.com.my

Menariknya pameran Fine Art Degree Show (FADS) di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang kerana motif setiap lukisan disampaikan artis berbeza dan ada ceritanya tersendiri.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai jenis karya dari satu sudut ke satu sudut dan bukan sahaja motif disampaikan berbeza, malah medium digunakan juga berlainan.

Karya seni dihasilkan menggunakan cetakan digital pada kanvas, kolaj kain pada kayu, dawai logam pada dinding, campuran media dan papan lapis serta dakwat di atas kertas.

Pengarah Projek Research Innovation Towards Integration and Sustainability (RINTIS) 2016 Mohd Elmie Fitri Mohd Sukri, 23, berkata, FADS sebahagian daripada projek untuk mempamerkan hasil karya pelajar tahun akhir jurusan seni halus Pusat Pengajian Seni USM.

“Tiada tema khusus diberikan. Pelajar bebas menyalurkan idea kreatif melalui lukisan selepas membuat kajian dan penyelidikan sepanjang tempoh tahun akhir.

“Pelbagai kajian dijalankan sebelum memulakan sebuah karya, antaranya isu semasa, kajian media baru dan interpretasi dan ekspresi diri. Kajian dilakukan untuk memastikan motif disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya selepas mengiringi Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Dr Mohd Nazari Yaakob melawat pameran itu, baru-baru ini.

Antara pelajar yang mempamerkan karya seni Norziyani Ahmad Bakeri, 23, berkata, lukisan dihasilkan memberi gambaran atau bayangan penghidap tryponophobia (takut kepada lubang kecil) apabila berhadapan jarum suntikan.

“Golongan ini Berasakan jarum suntikan sangat menakutkan dan akan memberi kesakitan terlalu dahSyat kepada mereka.

“Karya seni fotografi saya menunjukkan imej alatan yang biasa dipakai seharian seperti cermin mata dan kasut tanpa sebarang ancaman, namun alat berkenaan diubahsuai menggunakan medium fotografi bagi menunjukkan kesan ngilu terhadap jarum suntikan,” katanya.

Norziyani berkata, gambaran itu menunjukkan walaupun jarum suntikan tidak berbahaya dan tidak memberi sebarang ancaman kepada manusia, ia memberi tanggapan berbeza kepada penghidap tryponophobia.

Sementara itu, menggunakan tajuk ‘Dunia Mereka’, Nur Aishah Azmi, 23, menghasilkan karya hasil eksplorasi berkaitan objek dilukis golongan sindrom down dengan menggunakan media tersendiri.

Grace Valentine, 23, pula mempamerkan lukisan bertajuk ‘Nusu’ menunjukkan golongan wanita pertengahan umur di Sarawak sedang menyusukan bayi dan mendapat inspirasi melalui ibunya yang pernah menjadi seorang ibu tunggal.

Ada pelbagai karya dipamerkan yang menonjolkan keunikan, motif dan teknik pelbagai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 12:01 PM