PEMAIN muda negara ceria selepas sesi latihan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt dilihat masih lagi ‘bereksperimen’ ketika saingan Piala Negara-Negara di Melaka hanya berbaki tujuh hari sebelum turun beraksi menentang skuad Bawah 21 (B-21) Singapura 3 Jun depan.

Latihan pusat bermula Isnin lalu dengan 24 pemain seolah-olah tidak memberi banyak pilihan buat bekas pengendali remaja Estonia itu yang memaksa beliau membawa masuk sembilan lagi muka baru sekali gus menjadikan bilangan pelatih bertambah kepada 33.

Jelas jurulatih berbangsa Jerman itu, kehadiran pemain baru itu mampu memberi gambaran lebih jelas buatnya sebelum menyenaraikan 25 pemain terakhir untuk dibawa ke Melaka yang dijangka bertolak Ahad ini.

Katanya, rata-rata pemain masih belum memahami corak dan falsafah permainan yang cuba diterapkan, namun beliau yakin kesemua pemain mampu menerimanya dalam tempoh tiga hari latihan.

“Hari ini (semalam) kami menerima sembilan pemain baru dan apa yang saya boleh cakapkan mereka perlu segera memahami dan menerima kaedah latihan saya.

“Ada antara mereka baru pertama kali menyertai latihan dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk memahami serta mengenali pemain lain yang saya kekalkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya percaya kami mempunyai cukup masa untuk membuat persiapan menjelang saingan Piala Negara-Negara minggu depan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Akademi PKNS, di Kelana Jaya, semalam.

Bernhardt yang mula melatih pasukan sejak awal tahun ini, dilihat lulus ujian pertamanya apabila berjaya membentuk pasukan mantap ketika menumpaskan skuad B-22 Filipina 4-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Mac lalu.

Berselang beberapa hari kemudian, anak didik Bernhardt diikat 1-1 pasukan senior Nepal biarpun menguasai hampir keseluruhan permainan.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan positif diraih itu persembahan skuad Projek Sukan SEA berkenaan dilihat mencuri tumpuan peminat tempatan yang memuji aksi ala Jerman menerusi hantaran pendek diterapkan Bernhardt.

“Saya tiada apa-apa magis tapi mungkin kerana corak latihan dan pendekatan berbeza membuatkan pasukan menampilkan aksi menarik. Apapun pemain perlu fokus sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:40 AM