Pengarah urusan Kwasa Land Sdn Bhd, Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh (dua dari kiri) bersalaman dengan Imran (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian di pejabat MRCB Jalan Tun Sambanthan.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MRCB Builders Sdn Bhd (MRCB Builders), subsidari milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dilantik sebagai Rakan Kongsi Penyediaan Projek (PDP) bagi infrastruktur utama bagi perbandaran baru, Kwasa Damansara.

Pengarah Eksekutif MRCB, Imran Salim berkata, syarikat menandatangani perjanjian bernilai RM2.2 bilion dengan Kwasa Land Sdn Bhd, pemaju induk projek berkenaan.

Katanya, pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan keupayaan teknikal syarikat dalam melaksanakan projek serta pembangunan berskala besar, selain peranan semasa sebagai PDP bagi laluan laluan 3 LRT.

“Kerja infrastruktur utama akan bermula apabila mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan dan ia dijangka dalam tempoh setahun.

“Sebagai PDP bagi projek, MRCB tidak mungkin terjejas oleh kelembapan dalam pasaran hartanah semasa, memandangkan pembangunan berkenaan bukan untuk masa kini,” katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian di sini, semalam.

Menurutnya, kerja berkenaan, yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga enam tahun, termasuk infrastruktur umum seperti bekalan air dan elektrik dan jalan di kawasan kerja lebih 647.5 hektar.

Sementara itu, mengenai tawaran persendirian syarikat, beliau berkata, ia kini mengadakan rundingan dengan beberapa institusi Bumiputera dengan sasaran meningkatkan pegangan Bumiputera kepada 40 peratus menjelang akhir tahun.

“Buat masa ini, kami berada pada 33 peratus dan perlu memenuhi keperluan 35 peratus,” katanya.

Perbandaran Kwasa Damansara terletak di kawasan seluas 942.9 hektar yang sebelum ini tanah Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh. Pemegang saham terbesar MRCB ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang mempunyai 38.9 peratus pegangan dalam syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 6:57 AM