SALINAN invois pembayaran dan laporan polis dibuat Shila dan Idah selepas ditipu agensi pelancongan. FOTO Shahrul Redzuan
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Kami menyimpan wang sejak setahun lalu untuk percutian impian di Jepun. Hajat di hati mahu melihat keindahan negara orang terutamanya Taman Tema Disneyland dan Gunung Fuji.

"Tetapi apakan daya, semua impian itu terkubur selepas ditipu ejen pelancongan yang menjanjikan bulan dan bintang kepada kami selepas semua pembayaran sudah dilunaskan. Kami hanya sempat menjejakkan kaki di negara itu selama 19 jam."

Itu luahan Shila (bukan nama sebenar), 29, yang kerugian kira-kira RM15,000 selepas ditipu agensi pelancongan yang menggunakan alamat pejabat di Singapura dipercayai palsu.

Shila dan rakannya, Idah (bukan nama sebenar), 29, sepatutnya menikmati percutian selama 10 hari sembilan malam di Osaka, Jepun tetapi terpaksa pulang selepas pemandu pelancong yang dijanjikan menjemput mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai tidak kunjung tiba.

"Kami membeli tiket penerbangan sendiri tidak termasuk pakej yang ditawarkan iaitu RM4,999 seorang dan tiba di lapangan terbang itu pada 10.20 malam, 16 Mei lalu.

"Selepas menunggu beberapa jam, pemandu pelancong tidak muncul dan kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM848 untuk menginap di sebuah hotel sambil mengharapkan ada orang yang akan jemput kami keesokkan hari.

"Malangnya, bayang mereka pun tidak nampak, panggilan dan SMS saya pun tidak dijawab. Jadi kami nekad pulang semula ke Malaysia dan terpaksa membayar RM1,000 denda untuk tiket penerbangan pulang pada 5 petang, 17 Mei," katanya.

Menurut Shila, dia mula berurusan dengan ejen berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp sejak 14 Mac lalu dan bertanyakan mengenai perkhidmatan yang lelaki itu tawarkan menerusi syarikat berkenaan.

“Dia menawarkan harga yang lebih murah iaitu RM4,999 seorang berbanding pakej daripada ejen pelancongan lain yang rata-ratanya RM7,000 hingga RM8,000. Kami tertarik dengan tawaran itu dan membuat transaksi separuh pembayaran menerusi akaun bank yang diberi lelaki itu.

“Dalam tempoh dua hari, dia meminta kami menjelaskan separuh lagi bayaran dan saya membuat transaksi dengan nama sama. Selepas bayaran RM9,998 selesai, dia meminta pula bayaran insurans sebagai jaminan keselamatan kononnya kerana Jepun baru dilanda gempa bumi sebanyak RM3,670,” katanya.

Dia turut diyakinkan oleh lelaki itu mengenai pakej yang dipersetujui apabila menerima jadual perjalanan yang cukup lengkap menerusi emel pada 15 Mac dan tawaran pemberian beg bagasi percuma setiap seorang.

“Kali terakhir saya berhubung dengannya ialah pada 10 Mei dan lelaki itu memberitahu bahawa semuanya sudah selesai dan seseorang akan menjemput kami di sana (Jepun)

“Kami bagaimanapun mula berasa sangsi apabila pesanan yang dihantar tiga hari sebelum berlepas ke sana tidak dijawab namun tetap meneruskan perjalanan ke negara matahari terbit itu dengan harapan percutian idaman itu jadi kenyataan,” katanya.

Kecewa dan tertekan dengan kejadian itu, Shila dan Idah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi selain melaporkan di Tribunal Tuntutan Pengguna dengan harapan nasib mereka terbela dan individu berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat berkata, pihaknya selalu mengingatkan orang ramai agar memeriksa latar belakang ejen pelancongan yang mereka pilih.

"Pihak MATTA sering beri nasihat supaya orang ramai berurusan dengan ejen yang berlesen walaupun mendapatkan maklumat mengenai ejen berkenaan secara online.

"Kalau semua urusan dilakukan secara online (dalam talian), sesiapa saja sebenarnya boleh menipu dengan menyediakan maklumat sama seperti ejen yang berlesan seperti jadual perjalanan dan penerbangan.

"Justeru, berhati-hatilah dan semak dulu status ejen berkenaan sama ada hubungi pejabatnya, semak dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atau pun rujuk terus kepada MATTA," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan boleh dibuat di laman web MATTA yang menyenaraikan lebih 3,200 ejen pelancongan seluruh negara yang bernaung dibawah persatuan itu.

"Jika ejen berkenaan ialah ahli persatuan kami dan melanggar kod etika yang ditetapkan seperti menipu pelanggan, tindakan tegas boleh dibuat. Tetapi jika ejen berkenaan bukan ahli kami, MATTA tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 8:19 PM