FOTO hiasan
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, 38, membela diri atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut dalam siri protes jalanan KitaLawan tahun lalu.

Hakim Shamsudin Abdullah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di dalam kes itu.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh ada menyebut perkataan menghasut ketika memberi ceramah.

Mohd Fakhrulrazi yang sebelum ini adalah Bendahari Dewan Pemuda Pas didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Kompleks Sogo Jalan Tunku Abdul Rahman pada 21 Februari tahun lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 12:51 PM